Muhammad Hakimi, Li Jane dinobat Olahragawan, Olahragawati Perak
IPOH 30 April - Atlet olahraga negara, Muhammad Hakimi Ismail dan pemain boling wanita kebangsaan, Sin Li Jane masing-masing dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati negeri Perak 2017/2018 pada majlis Anugerah Sukan Negeri di sini hari ini.
Hakimi Ismail yang memenangi pingat emas acara lompat kijang pada Sukan SEA 2017 mengalahkan dua lagi calon iaitu atlet terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh dan atlet menembak, Siau Zianyi.
Li Jane pula mengatasi dua calon untuk anugerah Olahragawati iaitu atlet terjun, Leong Mun Yee dan pemain boling, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan trofi dan insentif kepada pemenang anugerah Olahragawan dan Olahragawati negeri.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut hadir, Pengerusi Jawatanakuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How.
Sementara itu, penembak negara, Loo Jie Ren menerima anugerah Olahragawan Harapan manakala atlet pelayaran negara, Nor Nabila Mohd. Nazri dipilih sebagai Olahragawati Harapan.
Dalam pada itu, pasukan Liga Super, Perak dipilih sebagai pemenang Anugerah Pasukan Terbaik setelah muncul juara Piala Malaysia musim lalu. - UTUSAN ONLINE